Tuesday, 8 January 2013






ARTIKEL : KATARAK


Apakah Katarak?

Katarak atau selaput mata seringkali dikaitkan dengan peningkatan usia, di mana mata yang dahulunya terang menjadi semakin kabur dan kelam. Katarak terjadi apabila kanta mata yang jernih dan lutsinar berubah menjadi semakin keruh dan legap. Pada peringkat awal atau permulaan proses ini mungkin tiada tanda yang nyata dan aktiviti harian masih belum terganggu, sehinggalah lama kelamaan penglihatan semakin kabur, terutamanya diwaktu malam atau dalam keadaan suram yang semestinya menjejaskan aktiviti seharian.

Antara simptom atau tanda berlakunya katarak adalah kesukaran memandu di waktu malam dengan gangguan cahaya silau, sering bertukar cermin mata, imej yang dilihat berlapis atau bertindih, selain itu mata mungkin sering berasa letih dan berair.








Apakah Penyebab Berlakunya Katarak?

Usia adalah faktor utama dalam pembentukan katarak, Dengan peningkatan usia, fungsi badan manusia akan merosot secara perlahan, salah satu organ atau pancaindera yang terjejas fungsinya adalah mata.

Buat masa ini, tiada ubat atau teknologi yang boleh mencegah berlakunya katarak. Namun begitu, amalan pemakanan dan cara hidup sihat mungkin boleh melambatkan proses pembentukan katarak ini.

Selain faktor usia, antara penyebab lain katarak adalah kecederaan samada dari objek tumpul atau tajam, pengambilan ubat-ubatan seperti steroid (yang mungkin terdapat dalam ubat tradisional atau jamu), dan tidak terkecuali penyakit seperti kencing manis dan radang mata.


Bayi yang baru lahir juga boleh menghidap katarak dan penyebab utamanya adalah jangkitan kuman sewaktu dalam kandungan.


Bolehkah Katarak Dirawat?






Buat masa ini katarak hanya boleh dirawat dengan kaedah pembedahan. Pembedahan yang dimaksudkan adalah melibatkan pengeluaran katarak dan digantikan dengan kanta yang jernih dan lutsinar. Teknologi pembedahan katarak telah berkembang dengan pantas dan buat masa ini ia merupakan pembedahan paling selamat dan mudah dilakukan. Pesakit boleh melihat dengan jelas dalam masa yang singkat dan aktiviti biasa boleh dimulakan secepat mungkin. Dewasa ini, pesakit juga diberi pilihan samada masih mahu memakai cermin mata atau bebas daripadanya selepas pembedahan katarak. Ini adalah kerana terdapat beberapa jenis kanta tiruan yang boleh menepati gaya hidup seseorang pesakit itu.





Bagaimana Cara Mengesan Katarak?

Selain dari mereka yang mempunyai simptom atau golongan berisiko seperti diatas, setiap individu adalah digalakkan membuat pemeriksaan mata seawal usia 40 tahun,
 Pemeriksaan awal bukan hanya boleh mengesan katarak tetapi juga penyakit mata yang lain seperti glaukoma, yang jika dikesan pada peringkat awal boleh mengelakkan kebutaan.



Berjumpa dengan Pakar Mata anda untuk pemeriksaan lanjut!


No comments:

Post a Comment